Friday, April 21, 2006

Panduan menghias dan menjaga bunga

- Elak menghias kediaman dengan terlalu banyak jambangan bunga hinggakan kediaman anda kelihatan seperti kedai bunga.
- Pilih warna bunga yang sesuai dengan skema warna kediaman anda.
- Gubahan di dalam vas tinggi boleh menghiasi meja makan ataupun meja kopi kerana ia berupaya menjimatkan ruang. Tapi pastikan saiznya tidak terlalu tinggi kerana ia akan mengganggu hidangan di atas meja.
- Untuk meja makan atau meja kopi yang lebar, bolehlah anda tempatkan gubahan memanjang.- Bagi mencipta kelainan di meja hidangan, anda boleh menghiasi bekas kaca berisi lilin, air dan kelopak bunga. Di samping itu, hias kelilingnya dengan kain organza dan bunga berwarna terang seperti merah sebagai penyeri.
- Untuk sudut, anda boleh menghias dengan gubahan khas yang ditempatkan di atas meja sudut atau kaki pasu.
- Cara mudah yang dilakukan untuk gaya Inggeris ialah menempatkan bunga-bunga di dalam vas tanpa perlu bersusah payah mencucuknya ke dalam span bunga. Sebagai tambahan, anda boleh menghias vas dengan ikatan reben ataupun kain organza.
- Untuk kediaman bergaya moden, pilih gubahan yang ringkas serta jenis bunga yang tidak sarat dengan warna.
- Jambangan bunga yang ringkas boleh diselitkan dengan replika buah-buahan atau sayur-sayuran sebagai kelainan dan daya tarikan. Gubahan itu sesuai dihias di ruang makan atau ruang dapur.
- Jika ingin menghias bunga pada dinding, anda boleh menggubahnya di dalam bakul tanpa tangkai dan kemudian menggantungnya pada dinding.
- Cara membersihkan bunga kain ialah dengan memasukkan bunga ke dalam plastik, diikuti dengan sedikit garam. Kemudian renjiskan air dan goncang plastik dengan kuat. Selepas itu bilas bunga dengan air dan jemur. Bunga pasti kembali bersih.

No comments: